JOHOR BAHRU: Pemberian vaksin secara percuma kepada rakyat tidak seharusnya menjadi bahan kempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ini kerana, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, program imunisasi tersebut adalah inisiatif di peringkat Persekutuan bukan daripada parti. 

"Ketika ini kerajaan Persekutuan yang terbentuk adalah Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Jadi, dia adalah satu program semua yang terlibat dalam kerajaan tersebut tetapi ini program kebangsaan, tak perlu jadikan sebagai bahan kempen pilihan raya," katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan ke Klinik Kesihatan Gelang Patah, di sini pada Sabtu.

Hadir sama ialah calon BN Kota Iskandar, Pandak Ahmad.

SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Mengulas lanjut, Khairy bagaimanapun berkata mana-mana parti dalam kerajaan boleh mengambil 'kredit' daripada pelaksanaan program imunisasi itu.

"Mereka boleh kata sebagai wakil dalam kerajaan.. kita pun boleh ambil kredit tetapi sama juga BN, pun kalau nak buat, kita boleh ambil kredit juga.

"Kalau GPS nak buat benda sama (pun boleh). Sebab siapa yang ada dalam kerajaan dia bertanggungjawab kepada program imunisasi," ujarnya.