TUMPAT: Semua parti politik disaran agar hanya memfokus kepada polisi dan dasar parti untuk kebajikan rakyat sepanjang kempen pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini di enam negeri bagi mengekalkan keharmonian negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata sebarang sentimen isu 3R (raja, agama dan kaum) tidak seharusnya ditimbulkan sama ada oleh pihak kerajaan atau pembangkang kerana ia jelas boleh menggugat kesejahteraan sedia ada.

"Kita kena akur dan patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong agar tidak menyentuh isu sensitif bagi mengelak berlakunya perpecahan dalam masyarakat.

"Saya yakin jika polisi dan dasar parti yang diperjuang, kempen akan berjalan dalam keadaan baik, rakyat boleh bersatu padu walaupun mungkin berbeza ideologi dan parti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Al Falah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Laut di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Zamri Zainal Abidin.

Pada majlis itu, Mohd Na'im menyerahkan sumbangan berjumlah RM2.9 juta kepada golongan memerlukan dalam pelbagai bentuk hasil kutipan zakat agensi di bawah kementeriannya.

Ia termasuk Bayt Ar Rahmah iaitu projek bina dan baik pulih rumah akibat bencana, Bakul Rahmah Madani untuk golongan asnaf, sumbangan Tunai Rahmah kepada murid berkeperluan khas dan peralatan hospital kepada Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian.

Beliau turut menasihati semua parti agar tidak menggunakan institusi agama bagi tujuan politik.

"Sudah ada garis panduan jelas berhubung peraturan dan larangan yang perlu dipatuhi di masjid.

"Tindakan penguatkuasaan kepada pihak yang menyalahgunakan institusi agama diserahkan kepada kerajaan negeri masing-masing," katanya.

-- BERNAMA