Seawal pukul 7 pagi, kelihatan pengundi sudah mula beratur di perkarangan pusat pengundian untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih, walaupun ia hanya dibuka pada 8 pagi.
Ramai dilihat mengambil peluang menunaikan kewajipan pada sebelah pagi berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini yang kadang-kala baik, namun hujan di sebelah petang.
Sementara itu, tinjauan Bernama di satu daripada sembilan pusat mengundi PRK berkenaan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara di Simpang Ampat, di sini mendapati beberapa anggota polis ditugaskan di pintu masuk sekolah tersebut untuk menjaga keselamatan dan mengawal lalu lintas.
Bagi memudahkan urusan orang ramai menyemak saluran mengundi masing-masing, enam petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditempatkan di kaunter semak daftar pemilih, dengan berhampirannya kelihatan beberapa kerusi roda turut disediakan bagi kegunaan warga emas serta pengundi yang mempunyai masalah kesihatan.
Mohd Faizul Arifin, 47, yang merupakan pengundi terawal tiba di sekolah itu berkata beliau tinggal di Taman Bandar Tasek Mutiara yang jaraknya kurang satu kilometer dari sekolah itu namun memilih datang awal bagi mengelakkan beratur panjang.
"Rancangannya selepas mengundi, saya mahu balik ke kampung di Selama, Perak untuk menguruskan urusan keluarga, jadi kalau dapat mengundi awal, lagi eloklah cepat saya boleh bergerak ke sana," katanya yang pernah mengundi di DUN Seri Delima dalam kawasan Parlimen Bukit Gelugor, sebelum berpindah ke kawasan DUN Sungai Bakap sejak 10 tahun lepas.
Menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini, cuaca diramalkan hujan di beberapa kawasan di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pada sebelah pagi manakala cuaca baik dan tiada hujan pada sebelah tengah hari dan malamnya, dengan suhu antara 27 hingga 33 darjah Celcius.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lepas, kerusi tersebut dimenangi Nor Zamri, yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
-- BERNAMA