Abidin hadir berkemeja putih pada jam 8.15 pagi tadi dan terus bergerak untuk proses buang undi.
"Alhamdulillah saya dah selesai mengundi pada pagi ini, harap semua berjalan lancar, pengundi pun ramai yang datang awal pagi hari ini, harap semua dapat keluar ramai- ramai mengundi, saya akan melawat disemua kawasan pusat pengundian selepas ini" katanya ketika ditemui di luar perkarangan SK Sg Duri.
Terdahulu, Abidin sempat bertemu dan memohon restu ibunya, Che Refiah Zakaria, 79, sebelum mengundi.
Mesra disapa Abang Abidin, beliau turut bertanya khabar dan kesihatan ibunya yang turut hadir mengundi di situ.
Sementara itu, Calon Pakatan Harapan (PH) Joohari Ariffin tidak membuang undi kerana bukan pengundi berdaftar di DUN Sungai Bakap.
PRK Dun Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
Pilhan raya kecil kawasan itu diadakan semula susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal mewakili PN diangkat menjadi wakil rakyat selepas menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.