Walaupun ada dalam kalangan segelintir mereka berdepan masalah kesihatan tetapi ia tidak menghalang individu terbabit menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.
Bagi Sarjan Mejar Harudin Md Sari, 49, dia tetap bersemangat menjadi pengundi pertama walaupun menghadapi masalah sakit tulang belakang sejak 2014.
“Saya ada masalah kesihatan, slipped disc yang sangat teruk.
“Walaupun tak sihat, semangat, alhamdulillah. Saya rasa ini agak meriah sebab semua tertumpu di kawasan Pulai,” katanya ketika ditemui di pusat mengundi awal, di sini pada Selasa.
Sementara itu, Koperal Mohd Fakrul Nizam, 38, selesai mengundi sekitar jam 8.15 pagi sejurus habis bertugas.
“Alhamdulillah semua berjalan lancar.
“Kalau ikut perasaan itu sama saja (sebab) ia tanggungjawab. Cuma soal perjalanan mengundi, alhamdulillah tiada sebarang masalah,” ujarnya yang sudah bertugas sejak 2007.
Seramai 927 pemilih pegawai polis dan anggota akan menunaikan tanggungjawab di dua pusat pengundian iaitu di Dewan Nusantara, Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua melibatkan seramai 881 pengundi awal, manakala 46 orang di Bilik Gerakan, Balai Polis Kempas.
Kedua-dua pusat mengundi awal itu dibuka serentak pada pukul 8 pagi, namun tempoh masa mengundi di Balai Polis Kempas adalah hingga 12 tengah hari.
Manakala, pusat mengundi awal di markas PPM Wilayah Dua ditutup pada pukul 5 petang.
Setakat pukul 9 pagi tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratusan keluar mengundi ialah 16 peratus.
Bagi Parlimen Pulai, saingan melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat; calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar; serta calon Bebas, Samsudin Mohd Fauzi.
Sementara, kerusi DUN Simpang Jeram juga melibatkan saingan tiga penjuru antara calon PH, Nazri Abdul Rahman; calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya; serta calon Bebas, S Jeganathan.