GUA MUSANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN ) Nenggiri, esok, mencapai 60 peratus.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata keputusan bagi PRK DUN tersebut yang melibatkan 20,259 pengundi berdaftar, dijangka diumumkan seawal pukul 9 malam esok.

Setakat ini, menurutnya persiapan bagi proses pengundian di kesemua 20 Pusat Daerah Mengundi berjalan lancar dan seramai 431 petugas SPR akan digerakkan bagi membantu melancarkan proses pengundian.

"Selain itu dua buah helikopter dan 40 pacuan empat roda akan digunakan bagi membantu kelancaran proses pergerakkan peti undi di kesemua 20 pusat mengundi," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau persiapan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ikmalrudin berharap para pengundi dapat keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka pada masa ditetapkan dan menyemak terlebih dahulu pusat mengundi masing-masing, kerana terdapat enam pusat mengundi yang akan ditutup lebih awal.

"Para pengundi juga diingatkan supaya membawa kelengkapan maklumat mengundi seperti kad pengenalan bagi memudah dan melancarkan proses pengundian berlangsung," katanya.

PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan wakil Perikatan Nasional Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan logo PAS.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, apabila bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Selain itu, Ikmalrudin dalam kenyataan mengingatkan majikan supaya membenarkan tempoh munasabah kepada pekerja yang berdaftar sebagai pengundi pada hari mengundi sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau juga mengingatkan 20,216 pengundi biasa yang bakal menjalankan tanggungjawabm agar sentiasa mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan SPR.

"Penggunaan telefon bimbit oleh pengundi di saluran adalah tidak dibenarkan. SPR turut menetapkan bahawa pengundi yang membawa telefon bimbit perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata semua pengundi yang ingin memasuki pusat mengundi adalah dilarang memakai pakaian, aksesori atau membawa bahan yang mempunyai nama, lambang, simbol atau apa-apa bahan kempen yang cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

"Kegagalan pengundi mematuhi atau melanggari peruntukan yang ditetapkan boleh menyebabkan pengundi dilarang memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya," katanya.

Ikmalrudin berkata SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam dan sebarang pelanggaran undang-undang boleh dikenakan tindakan.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada pukul 11.59 malam ini.

"Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan melalui saluran media sosial seperti Facebook, X (Twitter), Instagram, Tik-Tok dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata semua parti atau calon bertanding dilarang membuka, membina atau menyelenggara 'barung', esok kerana ia juga merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

-- BERNAMA