GUA MUSANG: Kesemua 20 pusat mengundi dengan 46 saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dibuka serentak pada pukul 8 pagi ini.

Cuaca di kesemua pusat mengundi cerah pagi ini dan dijangka berterusan sehingga kesemua lokasi ditutup secara berperingkat pada pukul 6 petang, berdasarkan ramalan cuaca Jabatan Meteorologi di laman webnya.

Kedua-dua calon bertanding, iaitu calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail yang mewakili Perikatan Nasional (PN), akan mengundi di pusat mengundi yang sama, iaitu di Tabika Sri Bakawali, Bertam Lama, yang terletak kira-kira sejam dari bandar Gua Musang.

Daripada 20 pusat mengundi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, enam pusat mengundi yang mempunyai jumlah pengundi yang sedikit akan ditutup lebih awal, iaitu Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan Sekolah Kebangsaan(SK) Pulat yang akan ditutup pukul 3 petang.

Empat lagi pusat mengundi akan ditutup pada pukul 2 petang iaitu SK Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai.

Penjumlahan undi pula akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang dan keputusan rasmi dijangka diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK berkenaan Nik Raisnan Daud seawal pukul 9 malam.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu dengan perjalanan proses pengundian dikendalikan 431 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada 5 Ogos lepas, sebanyak 43 kertas undi pos telah dikeluarkan kepada individu yang berhak, termasuk 14 anggota polis yang sepatutnya mengundi awal pada 13 Ogos lepas tetapi memilih mengundi secara pos susulan keperluan bertugas sepanjang PRK.

PRK itu diadakan selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lepas. Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan Ke-15 tahun lepas, Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo PAS menewaskan calon BN Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.

-- BERNAMA