PADA 3 Ogos lalu telah berlangsung proses penamaan calon di DUN Nenggiri bagi membolehkan perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bermula pada tarikh tersebut sehingga 17 Ogos.

Hanya dua calon sahaja yang diumumkan secara rasmi oleh  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu  Mohd Rizwadi Ismail (Perikatan Nasional) atau dikenali sebagai Ustaz Wadi.

Manakala, calon nombor dua ialah Azmawi Fikri Abdul Ghani (Barisan Nasional) atau yang lebih mesra dikenali sebagai Mawi.

Jentera yang menyokong dan membantu mereka berdua ini ternyata aktif di semua 20 daerah mengundi.

Gerak kerja mereka ternyata mengambil pendekatan menyantuni pengundi atau ada yang sebut kempen 'anak beranak'.

Ringkasnya, gaya berkempen kali ini adalah mengikut kesesuaian tempatan.

DUN Nenggiri perlu diadakan PRK kerana berlaku kekosongan luar jangka selepas notis diterima secara bertulis mengikut fasal 3 perkara 31A Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan pada 13 Jun lalu.

Justeru, pihak SPR telah menetapkan hari penamaan calon pada 3 Ogos dan pengundian awal pada 13 Ogos, manakala hari mengundi ditetapkan pada Sabtu (17 Ogos).

Tempoh berkempen ialah selama 14 hari bermula dari 3 Ogos hingga jam 11.59 malam, 16 Ogos 2024.

Jumlah pengundi yang berdaftar ialah seramai 20,259 dan peratusan terbesar sebanyak 53.38 peratus adalah pengundi dalam lingkungan umur 21 hingga 39 tahun.

Menarik di DUN Nenggiri ialah komposisinya, di mana pengundi Melayu 17,369 atau 85.73 peratus dan Orang Asli seramai 2,738 atau 13.51 peratus.

Rumusannya, ini adalah kawasan luar bandar dan majoriti terbesar ialah orang Melayu.

Daripada 20 daerah mengundi, terdapat sembilan pusat daerah mengundi merupakan kampung tradisi; lima pusat daerah mengundi kampung orang asli; lima pusat daerah mengundi penempatan Kesedar;dan satu daerah mengundi bagi penempatan Felda.

Untuk tempoh kempen yang sedang rancak ini, persaingan sengit berlaku atas tiga perkara utama.


Mengapa perlu PRK?

Keputusan pada PRU DUN ke-15 2023 menyaksikan ia berpihak kepada Pas selepas berdepan dengan BN.

Namun majoritinya hanya 810 undi, dengan penyandang yang menang ketika itu Muhamad Azizi Abu Naim, yang pada waktu itu adalah ahli Bersatu dan bertanding menggunakan logo Pas.

.

Memandangkan Muhamad Azizi membuat pendirian menyokong Kerajaan Perpaduan, maka dia dilucutkan keahlian daripada Bersatu. Maka, itulah sebab berlakunya PRK.

Daripada tinjauan yang dibuat, ternyata tidak semua pengundi di DUN Nenggiri memahami mengapa PRK ini berlaku.

Lazimnya seperti contoh di Kuala Kubu Bharu dan Sungai Bakap, ia berlaku kerana penyandang meninggal dunia. Ini sudah tentu mudah difahami, tetapi di Nenggiri ia bukan begitu ceritanya.

Berlaku PRK adalah kerana perkara-perkara yang berkait dengan peraturan dan keputusan sama ada parti ataupun pihak Kerajaan Negeri, yang akhirnya mendorong kepada kekosongan kerusi dan wujud keperluan untuk mengadakan pilihan raya.

Dalam tempoh kempen ini ternyata pihak Pas cuba sedaya upaya memberi penjelasan, kenapa wakil rakyat yang dulunya bertanding atas tiket Pas dikosongkan kerusinya.

Memandangkan penjelasan teknikal agak sulit dan sukar difahami dengan mudah, maka penjelasan yang bersifat simplistik cuba dibentangkan dalam ceramah-cermah agar pengundi yang berada di luar bandar bersetuju untuk memahami kenapa perlu ada PRK.

Daripada sudut ini, dapat diperhatikan ada kepayahan dalam penyampaian. Namun jentera Pas tidak banyak pilihan, malah perlu membentangkan juga alasan-alasan yang bagi mereka dianggap sudah munasabah.


Saingan Satu Lawan Satu

Kali ini hanya ada dua calon Melayu iaitu seorang ahli UMNO yang bertanding atas tiket BN, dan seorang lagi ahli Bersatu yang bertanding atas tiket Pas.

Kedua-dua mereka adalah anak tempatan dan memiliki keistimewaan tersendiri.

Misalnya, calon nombor satu iaitu Ustaz Wadi, walaupun tidak tinggi pengajian akademiknya tetapi dia telah terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan di kawasan Gua Musang.

Penglibatannya dalam parti Pas, namun bila waktu tiba untuk dia menjadi calon, maka dia keluar daripada parti Pas dan menjadi ahli Bersatu untuk tempoh yang cukup singkat sekali sebelum menjadi calon PRK DUN Nenggiri.

Perihal ini menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli Bersatu di kawasan Nenggiri dan diberitakan bahawa ada juga yang telah meninggalkan parti.

Dengan usia 41 tahun, Ustaz Wadi yang memiliki lima cahaya mata telah memulakan gerak kerja untuk mendampingi pengundi kerana perlu juga memberi penjelasan kenapa dia menjadi ahli Bersatu untuk menang PRK ini di bawah bendera Pas.

Menyentuh mengenai calon nombor dua yang lebih selesa dengan panggilan Mawi pula, dia dilahirkan pada 1986 dan memiliki tiga orang anak.

Dengan latar belakang akademik dan pengalaman politik serta pertautan dengan belia tempatan, dia memiliki kelebihan kerana telah lama berkecimpung dalam urusan sosial politik di kawasan Gua Musang khususnya Nenggiri.

Perlu dicatat bahawa jumlah pengundi muda memiliki bilangan yang besar. Misalnya, antara umur 21 hingga 29 tahun terdapat 5,378 orang dan antara umur 30 hingga 39 tahun terdapat 5,436 orang.

Mawi juga memiliki personaliti yang mudah didampingi.

Selain menjadi Ketua Pergerakan UMNO Kelantan, ada yang menyebut Mawi adalah penghubung antara negeri dengan Putrajaya.

Ini telah memberi isyarat bahawa andai kata Mawi menjadi wakil rakyat Nenggiri, maka pengundi dan penduduk di kawasan ini boleh nikmati banyak saluran manfaat yang ditawarkan oleh pemerintah.

Kedua-dua calon ini memiliki kemampuan untuk mendampingi pengundi. Tidak ada sebab untuk memperlekehkan calon-calon kerana mereka telah diterima dengan baik oleh kedua-dua pihak.

Dalam masa sama, pihak jentera sedang bertungkus-lumus untuk membantu calon-calon mereka supaya dapat menambat hati pengundi.


UMNO dan Pas

UMNO tidak lama lagi akan mengadakan persidangan agungnya dan mereka tahu bahawa kemenangan bagi parti Melayu itu dalam PRK ini akan membawa banyak pengertian dalam perjuangan parti.

Justeru, Nenggiri adalah medan yang memberi isyarat atau momentum buat UMNO untuk kembali mengemudi kebangkitan menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Bagi Pas, pastinya PRK ini merupakan satu tekanan dan 'test bed' kerana berlaku di negeri jajahan Pas di Kelantan sejak 1990 lagi.

Beberapa petunjuk mungkin dapat dihasilkan apabila kita ketahui keputusannya pada 17 Ogos ini.

Pas perlu mengekalkan majoriti sekurang-kurangnya 810 undi, dan ramai juga yang berbincang apakah PRK ini mempamerkan semangat Pakatan Harapan (PH), jika DAP tidak turut serta berkempen?

Jawapannya, ini telah diselesaikan dengan baik oleh pemimpin yang berpengaruh di Gua Musang iaitu Tengku Razaleigh Hamzah (bekas Ahli Parlimen Gua Musang).

Namun, kelihatan keberadaan ahli-ahli PH seperti PKR dan Amanah yang turut serta dalam kempen sebagai sokongan dalam semangat prinsip perpaduan.

Secara rumusannya, dapat dikatakan bahawa PRK DUN Nenggiri bukan sekadar pengundian tetapi ia bakal membawa beberapa petunjuk kepada parti yang bertanding.

Antaranya ialah peranan kepimpinan muda, pendekatan kempen yang disenangi oleh pengundi, konsep tahan dan tawan, serta pola perubahan yang diperlukan oleh pihak yang memerintah di negeri ataupun peringkat persekutuan.

Justeru, kita akan bakal saksikan apakah Nenggiri akan memberi satu kejutan pertama dalam siri PRK-PRK sebelum ini.



* Yahaya Abdullah adalah bekas Panel Pemikir Jasa (2010-2014) dan kini menjadi pemerhati serta pengulas isu-isu semasa politik.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.