KLUANG: Sebanyak 47.16 peratus daripada 61,274 pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota selesai mengundi setakat 4 petang ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Proses pengundian di 20 pusat mengundi dengan 109 saluran bagaimanapun akan terus berlangsung sehingga 6 petang, selepas dibuka pada 8 pagi tadi.

Pemakluman peratusan mengundi setakat 4 petang merupakan yang terakhir buat masa ini, sehingga peratusan penuh dikeluarkan menerusi kenyataan SPR pada malam ini.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata pihaknya menyasarkan peratusan keluar mengundi pada PRK itu lebih 60 peratus.

Menepati ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), bandar Kluang mulai hujan sekitar pukul 4.20 petang, setelah cuaca baik pada sebelah pagi.

Selepas proses pengudian tamat, proses pengiraan undi akan dilakukan di pusat mengundi masing-masing diikuti proses penjumlahan undi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini, dengan keputusan dijangka seawal 9 malam.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

Hari undi awal bagi PRK itu berlangsung pada Selasa lepas, melibatkan 4,437 tentera dan pasangan serta polis, selain 607 kertas undi telah dikeluarkan pada 15 Sept.

-- BERNAMA