KUALA KUBU BAHARU: Kerajaan berfungsi bagi menjalankan tugas, bukan untuk mencari populariti.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, itu perbezaan antara kerajaan perpaduan dan pembangkang yang hanya menjual isu-isu tertentu bagi mencari perhatian, khususnya pada musim pilihan raya.

"Kerajaan bukan bertugas dan berfungsi nak jadi popular, kalau nak popular masuk Gegar Vaganza. Tetapi kerajaan mengambil langkah yang perlu supaya rakyat mempunyai masa depan yang jauh lebih baik.

"Apabila saya teliti manifesto dibentang Pang Sock Tao (calon DAP) seminggu yang lepas, saya lihat beliau bukan saja nak menang dalam pilihan raya tapi beliau ingin meneruskan kerja baik dari mendiang Lee Kee Hiong.

"Yang kedua, beliau mahu pastikan masa depan negeri, negara, rakyat dan generasi masa depan terjamin. Ini pemimpin yang kita nak pilih, bukan pemimpin yang tak tahu nak jawab apa-apa," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Ceramah Mega Perpaduan Grand Finale PRK Kuala Kubu Baharu, pada Khamis.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, politik kerjasama akan terus menjadi tunjang Pakatan Harapan dan kerajaan perpaduan, seperti mana yang sudah digagaskan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.

"Jangan lupa asas kenegaraan kita ialah kerjasama antara kaum dan agama yang tak boleh kita pisahkan. Semangat ini yang kita nak bawa dalam kerajaan perpaduan.

"Pihak lawan bukan berkempen atas permuafakatan, mereka berkempen atas dasar dendam dan perkauman, sepanjang dua minggu sehingga saat akhir masih main isu perkauman.

"Kita selama ini amalkan politik kerjasama yang adil. Di kawasan campuran ada wakil Melayu, Cina, India. Itu formula selama ini jadi tak ada masalah.

"Betul calon kita berbangsa Cina tapi yang penting berjiwa Malaysia," katanya.

PRK Kuala Kubu Baharu Sabtu ini bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan daripada (DAP, Pang Sock Tao, yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan bakal dicabar pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut, mewakili Perikatan Nasional.

Mereka turut bakal menerima saingan daripada calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin, yang bertanding atas tiket Bebas.