Biarpun hanya memperolehi bilangan undi yang kecil pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, namun ianya bukan halangan bagi seorang anak muda, Mohd Yacoob Mohd Noor untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gelugor.

Mohd Yacoob yang mengumumkan untuk bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gelugor kali ini mendakwa keputusan itu dibuat setelah mendapat sokongan daripada beberapa persatuan penduduk dikawasan parlimen itu serta rakan-rakannya.

Sambil menegaskan tidak dipengaruhi atau dibiayai mana-mana parti politik, katanya, keputusan itu juga diambil ekoran kegagalan wakil rakyat terdahulu menyelesaikan beberapa masalah penduduk sejak pilihanraya umum lalu.

Menyedari peluang untuk menang hanyalah 50/50, namun anak muda berusia 25 tahun ini tekad untuk terus bertanding dan akan memulakan kempennya lebih awal.

"Keputusan untuk bertanding ini walaupun ramai pihak ramal pelbagai andaian saya jelaskan saya tetap akan bertanding dan tidak akan berganjak walaupun ada halangan daripada mana-mana parti politik atau individu.

"Saya dah nyatakan walaupun saya kalah dalam pilihanraya, saya tetap akan bertanding dalam pilihanraya yang lain, soal kalah dan menang biarlah rakyat buat keputusan, berilah peluang kepada anak muda terajui perubahan," katanya dalam satu sidang media pada Isnin.

Dengan berslogankan “Yacoob Bebas Demi Rakyat” beliau berkata, jentera pilihanraya telahpun diaktifkan sejak seminggu lalu sebagai persediaan awal untuk memulakan kempen.

Biarpun mengakui sumber kewangan yang terhad, namun beliau yakin kempennya akan berjalan lancar dengan bantuan sumber kewangan daripada rakan serta beberapa buah syarikat selain sumber kewangan sendiri.