KUALA LUMPUR:Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyifatkan laporan berita oleh sebuah portal media sebagai mengelirukan dengan memaparkan keadaan sesak di dalam sebuah tren monorel ketika Kuala Lumpur dan Selangor dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu turut mempelawa media melakukan tinjauan sendiri di stesen monorel supaya mereka boleh melihat keadaan sebenar.

"Prasarana melahirkan rasa sangsi bahawa gambar berkenaan dirakam ketika PKP yang bermula pada 13 Januari lepas.

"Pihak kami sentiasa memantau keadaan semasa dalam semua perkhidmatan rel kami - MRT, LRT dan Monorel dan sepanjang pengetahuan kami tidak pernah berlaku kesesakan atau 'overcrowding' seperti yang dinyatakan oleh laporan berkenaan," kata syarikat itu.

Prasarana menegaskan semua perkhidmatan rel Rapid KL beroperasi dengan mematuhi rapi syarat prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan.

Prasarana juga sentiasa memberikan peringatan di dalam tren dan di stesen untuk sentiasa mengamalkan prinsip 3C (jauhi kawasan yang sesak, elakkan kawasan yang sempit dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat) dan 3W (kerap cuci tangan, memakai pelitup muka dan amaran) seperti disaran kerajaan, katanya.

Sebuah portal berita sebelum ini menyiarkan artikel disertai foto tidak bertarikh memaparkan keadaan penumpang di dalam sebuah tren monorel dengan tajuk 'KL under MCO, but monorail packed to the brim during rush hour'.

Artikel berkenaan menyebut gambar-gambar itu dihantar seorang penumpang tidak bernama mempersoalkan mengapa keadaan itu berlaku ketika Kuala Lumpur dan Selangor dalam tempoh PKP.

Sementara itu, Prasarana berkata jumlah penumpang monorel jatuh mendadak kepada lebih kurang 10,000 penumpang sehari secara purata sejak PKP tahun ini bermula berbanding 46,000 sehari pada tahun 2019 sebelum negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.

"Jumlah keseluruhan penumpang rel ketika tempoh PKP ini adalah lebih kurang 150,000 orang sehari (hari bekerja), penurunan hampir 80 peratus berbanding tempoh pra-COVID-19 iaitu 700,000 orang sehari," katanya.

-- BERNAMA