Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) akan turun memberi nota bantahan yang keras kepada pihak pentadbiran UM supaya mahasiswa-mahasiwa dapat dibebaskan daripada kongkongan sistem pendidikan.

Ahli Parlimen Kuala Krai Kelantan Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata demikian semalam ketika melawat tapak perkhemahan “occupy campus” mahasiwa Universiti Malaya (UM).

Beliau berkata hukuman daripada UM adalah terlalu keras kepada pelajar-pelajar yang cuba menggilap bakat-bakat kepimpinan dan pemahaman demokrasi mereka.

“Nampaknya jika pihak pentadbiran univesiti tidak mahu melihat jauh, mereka mahu suasana kekal, di mana pelajar tidak banyak soal, tidak banyak mengambil kira suasana sekeliling mereka, jadi bagi saya ini bukan tindakan yang maju.

“Sebab itulah kalau kita tengok keadaan institusi pengajian tinggi kita, di Malaysia ini tidak menunjukkan sebarang kegemilangan dan kecemerlangan da an tindakan sampai menggantung dua semester dan RM600 ini ke atas pelajar adalah tidak munasabah,” tambah beliau.

occupy um
Beberapa mahasiswa UM berkumpul di tapak perkhemahan mereka tengah hari tadi - Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Mohd Hatta turut melawat tapak perkhemahan itu bersama Naib Presiden Parti KeAdilan Rakyat Rafizi Ramli, dan Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kayat.

Rafizi Ramli berkata pihak PR akan menulis kenyataan secara rasmi pada minggu hadapan untuk duduk berbincang bersama kepimpinan UM agar kes ini diselesaikan dan digugurkan dengan serta-merta.

Beliau berkata UM perlu lebih tumpukan kepada soal peningkatan akademik dan tidak perlu menghabiskan masa menyoal perkara remah seperti ini.

“Selain itu, saya difahamkan bahawa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada datang, untuk merobohkan khemah dan menyuraikan adik-adik kita yang menyertai ‘Occupy UM’ kali ini.

“Saya minta supaya kepimpinan DBKL tidak campur tangan dalam soal ini. Ini adalah persoalan unik hanya kepada UM, dan mengenai persoalan kebebasan akademik, dan saya seru supaya pimpinan ahli parlimen dan NGO lain untuk bertukar giliran bersama-sama duduk di sini.

Beliau berkata beliau sendiri akan hadir pada minggu hadapan untuk memberi sokongan kepada mahasiswa UM yang berkhemah di sini.

Semalam beberapa mahasiswa Universiti Malaya dilihat mula 'berkhemah' di kampus itu sejak petang tadi bagi menunjukkan perasaan tidak setuju mereka terhadap hukuman yang diberi kepada lapan pelajar yang terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram pada Oktober lepas.

Antara yang menerima hukuman itu adalah Presiden Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) Fahmi Zainol yang digantung pengajian dua semester.