KUALA LUMPUR: Situasi banjir di beberapa negeri semakin pulih dengan pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah telah ditutup sepenuhnya petang ini sementara Kelantan dan Perak menunjukkan pengurangan jumlah mangsa banjir manakala di Johor kekal.


Ringkasan AI
  • Penutupan PPS di Kedah: Semua pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah telah ditutup sepenuhnya kerana keadaan banjir semakin pulih.
  • Pengurangan Mangsa di Kelantan dan Perak: Jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Perak menunjukkan penurunan, dengan beberapa PPS masih beroperasi untuk menampung mangsa yang masih terjejas.
  • Keadaan Stabil di Johor: Jumlah mangsa banjir di Johor kekal stabil dengan beberapa PPS masih beroperasi, dan dua sungai berada pada paras bahaya.


Di KEDAH, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gunung yang dibuka sejak 29 Nov lepas telah ditutup sepenuhnya pada pukul 2.30 petang tadi.

"Kesemua mangsa dari Mukim Gunong yang melibatkan Kampung Alor Gunung, Kampung Gunung, Kampung Gunung Hilir, Kampung Alor Goncar, Kampung Alor Melintang dan Pondok Tanjung Bedil itu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan air telah surut sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus mencatatkan penurunan kepada 32 mangsa daripada tujuh keluarga setakat 4 petang ini berbanding 43 mangsa daripada 12 keluarga pagi tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan sejumlah 32 mangsa daripada tujuh keluarga itu masih berlindung di sebuah PPS di Pasir Mas.

Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula mencatatkan hanya Sungai Golok di Tumpat masih melepasi 2.0 meter iaitu paras berjaga-jaga, manakala semua sungai lain berada pada paras normal.

Di PERAK, Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir petang ini berkurangan kepada 112 mangsa daripada 36 keluarga di tiga PPS di daerah Kinta dan Perak Tengah berbanding 117 mangsa pagi tadi.

Kenyataan itu memaklumkan seramai 78 mangsa daripada 25 keluarga masih berlindung di dua PPS Dewan Serbaguna Tanjung Tualang dan SK St Paul di daerah Kinta manakala PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang, Bota di Perak Tengah masih kekal 34 mangsa daripada 11 keluarga.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan kebanyakan daerah antaranya Kerian, Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak, Bagan Datuk, Kinta, Kuala Kangsar, Hulu Perak serta Muallim akan berlaku hujan pada petang ini dan sebelah malam nanti.

Dalam pada itu, di JOHOR jumlah mangsa banjir kekal dengan 109 orang daripada 33 keluarga sehingga pukul 4 petang, hari ini, sebagaimana pagi tadi dengan hanya daerah Segamat terjejas banjir.

Pengerusi JPBN Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata empat PPS masih beroperasi termasuk di Balai Raya Kampung Batu Badak dengan 40 mangsa daripada 12 keluarga.

Beliau berkata tiga lagi PPS adalah di Dewan Komuniti Kampung Tasek dengan 46 mangsa daripada 15 keluarga, Balai Raya Kampung Sanglang 19 mangsa daripada lima keluarga dan Balai Raya Kampung Kuala Paya empat mangsa daripada satu keluarga.

“Dua sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’mor, Tangkak dengan catatan bacaan 4.27 meter dan Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat dengan bacaan 4.17 meter.

“Daerah Segamat dilaporkan hujan petang ini, manakala Muar, Mersing, Batu Pahat dan Tangkak mendung serta Johor Bahru, Pontian, Kluang, Kota Tinggi dan Kulai berkeadaan cerah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di NEGERI SEMBILAN, laman sesawang Info Bencana JKM melaporkan keseluruhan dua PPS dibuka di Tampin iaitu Balai Raya Kampung Parit Buluh dan Sekolah Kebangsaan Gedok yang menempatkan 30 mangsa daripada lapan keluarga setakat petang ini.

-- BERNAMA