Peningkatan kualiti dalam pendidikan antara lima inisiatif utama dicapai dalam tempoh dua tahun pertama pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dalam transformasi pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata empat aspek lain adalah peningkatan akses kepada pendidikan berkualiti; ekuiti dalam pendidikan; memupuk perpaduan dalam pendidikan dan mempertingkat kecekapan penyampaian pendidikan.

"Saya merasa bangga kerana dapat merealisasikan Anjakan 11 PPPM dengan menyampaikan laporan tahunan yang kedua bagi pelaksanaan PPPM.

"Saya bangga dengan komitmen yang ditunjukkan bukan sahaja warga pendidikan, tetapi juga ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam merealisasikan PPPM," kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan semasa membentangkan Laporan Tahunan 2014 PPPM 2013-2025 di Dewan Kompleks Seri Bintang di sini, hari ini.

Di bawah aspek peningkatan akses kepada pendidikan berkualiti, beliau berkata antara kejayaan yang dicapai adalah peningkatan enrolmen prasekolah daripada 81.7 peratus kepada 84.2 peratus hasil daripada usaha kementerian menyediakan pelbagai inisiatif dan insentif.

Selain itu, katanya perubahan ketara juga dapat dilihat dalam pendidikan lepas menengah apabila lima pusat tingkatan enam di Johor, Kuala Lumpur, Kedah, Selangor dan Sabah ditubuhkan pada tahun lepas.

Muhyiddin berkata peningkatan kualiti dalam pendidikan turut dititik-beratkan antaranya pelaksanaan program LINUS 2.0 (program saringan literasi dan numerasi) dengan 98.7 peratus murid tahun tiga berjaya menguasai literasi asas bahasa Melayu, 99 peratus menguasai numerasi asas dan 78.3 peratus murid tahun dua menguasai literasi asas bahasa Inggeris, daripada lebih sejuta murid yang melalui proses saringan.

"Program kompetensi guru bahasa Inggeris turut diteruskan sebagai kesinambungan usaha yang dijalankan pada 2013, dimana seramai 10,502 guru bahasa Inggeris telah dilatih semula di bawah Programme for English Language Teachers (ProELT).

"Usaha yang lebih berfokus untuk meningkatkan profisiensi bahasa Inggeris turut dilaksanakan dengan mengenal pasti 1,191 sekolah 'hotspot' bahasa Inggeris iaitu sekolah yang berada di bawah purata kebangsaan untuk markah lulus bahasa Inggeris," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata melalui program Sarana Ibu Bapa pula, mereka termasuk komuniti berusaha meningkatkan kualiti pendidikan di kawasan masing-masing antaranya menyediakan Smart TV dalam bilik darjah dan program pertukaran budaya di luar negara.

Mengenai ekuiti dalam pendidikan, Muhyiddin berkata kementerian sentiasa komited untuk merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar seperti yang dijanjikan PPPM.

"Menerusi Program Transformasi Daerah kita berjaya mengurangkan sekolah-sekolah Band 6 dan 7 daripada 1.39 peratus pada 2013 kepada 0.9 peratus pada 2014.

"Manakala sekolah-sekolah dalam Band 1 dan 2 meningkat kepada 36.8 peratus pada 2014 berbanding 31 peratus pada 2013," kata beliau.

Dalam pada itu kementerian turut meningkatkan usaha menerapkan perpaduan dalam pendidikan melalui Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) melibatkan 3,011 sekolah di seluruh negara, katanya.

Katanya kajian yang dijalankan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti pada tahun lepas menunjukkan 87.2 peratus murid berinteraksi dengan rakan-rakan daripada bangsa lain dalam kelas semasa menjalankan aktiviti kokurikulum dan sukan.

Muhyiddin berkata bagi mempertingkatkan kecekapan penyampaian pendidikan, kementerian turut berusaha memaksimumkan keberhasilan pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanjakan.

"Dari segi peruntukan pada 2014, kementerian telah menyalurkan 23 peratus daripada simpanan bajet bukan emolumen kepada aktiviti yang memberi impak secara langsung kepada keberhasilan murid, daripada sasaran 10 peratus yang ditetapkan," katanya.

Menurutnya, selaras dengan pembelajaran abad ke-21, kementerian turut memastikan 8,884 sekolah di seluruh negara dilengkapi 1BestariNet, manakala 6,623 sekolah dilengkapi internet berkelajuan tinggi.

"Selepas dua tahun kita dapat melihat perubahan yang berlaku dalam bilik darjah. Bukan sahaja susun atur dalam kelas, tetapi peranan guru kini sudah berubah dan lebih kepada menjadi fasilitator untuk membantu murid mendapat maklumat tepat dan betul di hujung jari," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, melangkah ke akhir Gelombang 1 PPPM iaitu bagi tempoh 2013 hingga 2015, semua pihak perlu berusaha gigih dan memberi komitmen padu bagi memastikan peningkatan pencapaian secara berterusan bagi setiap inisiatif transformasi yang telah dirancang.