KUALA LUMPUR:Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyatakan rasa tidak gembira atas apa yang berlaku dalam arena politik Perak ketika ini.

Beliau pada masa sama mendedahkan bahawa pemimpin UMNO juga tidak berpeluang untuk berbincang mengenainya di peringkat Biro Politik atau pun Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

"Sejujurnya, saya tidak gembira dengan apa yang berlaku di Perak. Kita tidak berpeluang berbincang terlebih awal di peringkat Biro Politik atau MKT (UMNO).

"Saya berdoa agar perjuangan yang seharusnya mengutamakan solidariti dan perpaduan ummah, tidak terjejas,” kata beliau menerusi ciapan di Twitter pada Jumaat.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut menzahirkan rasa dukacita sekiranya orang Melayu berpecah akibat kemelut itu.


BACA: LAPOR LANGSUNG: Undi Percaya DUN Perak - Siapa MB baharu? 

Terdahulu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ (undi percaya) yang berlangsung pada Jumaat.

Dalam proses pengundian yang dijalankan secara sulit itu, usul tersebut hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 yang tidak menyokong dan satu berkecuali.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu baru-baru ini juga berkata, Parlimen akan dibubarkan sekali gus membuka jalan kepada PRU15 sebaik sahaja penularan pandemik COVID-19 di negara ini berakhir.

BACA: Undi percaya DUN Perak: MB Faizal Azumu gagal peroleh sokongan majoriti 

BACA: Sidang DUN Perak ditangguh ke Rabu depan