Polis percaya dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah yang dijalankan kumpulan ‘Geng Pasir Panjang’ yang bergiat aktif di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abd Rafar berkata, ini berikutan penahan seorang mekanik berusia 20 tahun yang dipercayai menjadi ketua kumpulan itu lewat malam semalam.

“Suspek ditahan di tepi jalan Kampung Pasir Panjang dan dipercayai sedang menunggu pelanggan.

“Polis menemui lapan paket plastik berwarna biru yang mengandungi 1,600 biji pil kuda yang dianggarkan seberat 160 gram,” Idris berkata.

Susulan daripada tangkapan itu, polis menyerbu rumah suspek dan merampas wang tunai sebanyak RM3,410 dipercayai diperolehi daripada hasil jualan dadah dan menyita sebuah motosikal jenis Yamaha Ego yang digunakan suspek.

Menurut Idris, ahli kumpulan itu dipercayai berusia antara 20 hingga 30 tahun dan bergiat aktif di sekitar Pasir Panjang, Manir dan Chabang Tiga.

Polis juga telah mengenal pasti ahli kumpulan yang lain dan gerakan memburu kesemua suspek sedang giat dijalankan.

“Daripada risikan yang dijalankan sebelum ini, kumpulan ini dipercayai mempunyai 10 anggota, di mana tiga daripada mereka telah berjaya ditahan termasuk ketua kumpulan mereka.

“Ini merupakan satu kejayaan yang cemerlang bagi Cawangan Narkotik IPD Kuala Terengganu,” kata Idris.

Suspek direman selama enam hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.