Kanak-kanak perempuan Susie Kiu, 7, ditemukan penduduk kampung di Pantai Kala Dana kira-kira 6.4 kilometer dari lokasi kejadian pada 9.25 pagi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak memaklumkan mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.
Abang mangsa, Dexper Kiu Kuang Wei, 10, ditemukan oleh pasukan polis yang menyertai operasi mencari dan menyelamat kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pada 4.40 petang semalam.
Dengan penemuan mayat kanak-kanak perempuan itu, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 3.50 petang Selasa, kedua-dua mangsa dikatakan mandi di sungai berkenaan, tidak jauh dari Jambatan Kuning Mukah.
Ibu mangsa cuba menyelamatkan kedua-dua anaknya tetapi usaha itu tidak berjaya kerana mereka tenggelam dengan cepat akibat arus deras.
-- BERNAMA
