Seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai Nabi Isa ditahan polis dalam satu pemeriksaan jalan raya di Jalan Tun Razak pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek berusia 43 tahun itu ditahan bersama isteri dan anak perempuannya ketika menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) kira-kira jam 4.30 petang.

"Pada awalnya suspek ditahan kerana kenderaannya menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan.

"Bagaimanapun, suspek mengeluarkan kata-kata kesat termasuk mengaku dirinya Nabi Isa dan akan membunuh Perdana Menteri serta Raja-Raja Melayu selepas mengambil alih kerajaan," katanya kepada Astro AWANI.

Siasatan awal polis mendapati suspek sedang disiasat pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkaitan kes mengaku sebagai Nabi Isa.

Foto PDRM
Tambah Mohamad Roy, polis akan mengambil alih siasatan selepas pihak Jawi selesai menjalankan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.