KUALA LUMPUR: Polis sudah mengambil keterangan isteri pelakon yang ditumbuk suaminya yang juga seorang pelakon di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mangsa hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bagi memberi keterangan, pada Sabtu.

"Suspek akan dipanggil dalam masa terdekat.

"Jika perlu tangkapan dilakukan, ia akan dibuat bergantung kepada kerjasama dan keterangan yang diberikan," katanya seperti yang dipetik dari Harian Metro.

Khamis lalu, isteri pelakon terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata.

Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa bersama suaminya berada di dalam kereta di R&R di sekitar Sungai Buloh.

Kisah rumah tangga pasangan itu menjadi perbualan hangat susulan pelakon itu didakwa berlaku curang.

Difahamkan pelakon itu telah menceraikan isterinya dengan talak satu pada 23 Februari lalu.