Berita duka itu dikongsikan isterinya, Ruby Sara Omar, 51, menerusi mesej di aplikasi WhatsApp dan turut memaklumkan barah berkenaan sudah merebak ke bahagian organ penting lain.
Lan atau nama penuhnya Zailan Kamaruddin, 66, kini berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semenjak seminggu lalu bagi menjalani pemeriksaan.
“Doktor sudah sahkan Lan menghidap kanser pankreas tahap empat.
“Menurut doktor, jangka hayatnya hanya tiga bulan sahaja tetapi itu kata doktor, sebab kanser sudah merebak ke hati dan paru-paru.
"Setakat ini dia masih dirawat di PPUM, dia dalam keadaan stabil dan dalam pemantauan doktor,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ruby turut meminta semua sahabat handai terus memberikan sokongan buat suaminya.
“Mohon sahabat terus bagi semangat kepada Lan. Jika ada salah silap mohon maafkan beliau,” katanya lagi.
Sebelum ini, pelakon yang pernah membintangi naskhah terkenal seperti Gerak Khas, Zaharul vs Zarina, Takdir Itu Milik Aku, Bini-Biniku Gangster dimasukkan ke PPUM akibat batuk berpanjangan selepas keadaannya tidak berubah walaupun sudah mendapatkan rawatan di klinik sejak Oktober lalu. - Sinar Harian