SUBANG JAYA: Polis menjalankan siasatan berhubung seorang penyanyi rap yang mendakwa dirinya dirakam ketika serbuan dijalankan di sebuah pusat kecantikan dan kesihatan di Subang Jaya pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan mendapati sebelum itu serbuan dijalankan pasukan Bahagian Operasi Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di lokasi berkenaan.

"Ketika serbuan dilakukan pengadu telah mengarahkan anggotanya untuk merakam video dan mengambil gambar bagi membuktikan aktiviti yang berkaitan dengan urutan selain melakukan pemeriksaan lesen perniagaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan sah MBSJ dan telah menyalahi undang-undang di bawah Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan 2013," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, pasukan serbuan juga tidak diberikan kad pengenalan diri oleh seorang wanita tempatan selain individu terbabit mempertikaikan tindakan dokumentasi yang dijalankan.

"Siasatan awal mendapati wanita terbabit turut melakukan provokasi selain merakam tugas pihak serbuan menggunakan telefon bimbit miliknya.

"Pengadu kemudiannya bersama wanita itu turut membuat pemeriksaan telefon bimbit anggota terlibat yang didakwa merakam video sebelum mendapati tiada gambar video atau gambar wanita itu yang dirakam," katanya.

Menurutnya, pengadu turut menjelaskan telah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang kepada wanita berkenaan.

"Laporan polis dibuat pengadu berkaitan serbuan yang ditularkan dalam media sosial manakala wanita terbabit turut sama membuat laporan berkaitan dakwaan telah dirakam ketika dirinya tidak berbaju semasa diurut.

"Siasatan dijalankan berdasarkan laporan kedua-dua pihak di bawah Seksyen 186/ 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Terdahulu, seorang penyanyi wanita mendakwa dirakam dalam serbuan dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika sedang menerima khidmat urutan di SS14, Subang Jaya. - Sinar Harian