Saksi ke-32 Inspektor Chua Sze Yuan yang merupakan pegawai penyiasat pertama daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berkata kesemua bahan bukti itu diambil daripada Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Jong Pit Chao pada 16 Dis 2023 iaitu selepas hari kejadian perlanggaran.
"Saya boleh cam rakaman kamera litar rumah No. 92, Laluan Meru Indah, G2, Gerbang Meru Indah, Ipoh, Perak dan saya boleh cam rakaman kamera litar rumah alamat No. 19, Laluan F2 Gerbang Meru Indah (1 Meru) Ipoh tersebut.
"Saya kemudiannya telah menyimpan semua barang kes di dalam kabinet untuk pakaian dan peti sejuk untuk spesimen darah dan air kencing di dalam bilik saya yang berkunci dalam keadaan selamat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada perbicaraan kes Mohd Nazri Abdul Razak, 46, pegawai polis berpangkat DSP yang didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di sini, antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Dis 2023.
Chua berkata bagaimanapun pada 18 Dis 2023 pihaknya telah menerima arahan untuk kertas siasatan berkenaan diambil alih ASP S Dasarathan namun beliau masih diminta untuk membantu pegawai penyiasat tersebut.
"Pada 19 Dis 2023, saya telah terima arahan daripada ASP Dasarathan untuk membantu beliau bagi menghantar rakaman CCTV ke Makmal Forensik PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk barang kes tandaan AC1 dan AC2 dan spesimen darah ke Jabatan Kimia Petaling Jaya," katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz manakala Mohd Nazri diwakili peguam M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman serta peguam pemerhati Syaheera Rosli.
-- BERNAMA