KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian membabitkan pasangan dikatakan tertukar bayi di sebuah hospital swasta, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata laporan berkenaan dibuat oleh suami kepada usahawan dalam talian, Siti Suriani Wahiddin, di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 9 pagi Ahad.

"Laporan polis dibuat selepas si suami menyedari nama ibu pada tanda nama di kaki bayi tersebut bukan nama isterinya semalam (Sabtu), tetapi nama wanita lain yang dipercayai turut melahirkan bayi di hospital sama.

"Laporan itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut," katanya dilaporkan Bernama.

BACA: Wanita terkejut bayi tertukar di hospital

Siti Suriani melahirkan bayi lelakinya di sebuah hospital swasta pada awal pagi Jumaat.

Bagaimanapun dia dikatakan menyedari bayinya tertukar selepas pulang ke rumah pada Sabtu, apabila melihat tanda nama pada kaki bayi itu tertera nama ibu yang lain serta waktu kelahiran berbeza.

Kejadian itu tular di media sosial apabila Siti Suriani berkongsi di Facebook miliknya dan mendapat 1.3 juta tontonan, 56,000 komen dan 37,000 dikongsi netizen.