PETALING JAYA:Polis Petaling Jaya membuka 78 kertas siasatan berhubung kes individu menyamar sebagai kenalan untuk menipu bagi mendapatkan wang yang melibatkan kerugian kira-kira RM250,000 sejak Januari tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, berdasarkan siasatan, sindiket penipuan dalam talian itu menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai rakan atau saudara mangsa.

Katanya, melihat pada modus operandi, mereka tidak menyasarkan mana-mana golongan, namun demikian penjenayah berkenaan sentiasa mengubah taktik-taktik baharu untuk memperdaya mangsa.

Menurutnya, kesemua laporan itu disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial.

Beliau menjelaskan, berdasarkan siasatan, sindiket  penipuan dalam talian itu menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai rakan atau saudara mangsa.

"Pada awal perbualan, suspek yang memperkenalkan diri sebagai kenalan itu akan memberitahu kononnya nombor telefon yang digunakan itu adalah nombor baharu kerana nombor asal yang digunakanmya hilang.

"Lebih menarik lagi, suspek mempunyai kebolehan luar biasa untuk meniru suara sebenar atau mirip suara rakan atau ahli keluarga mangsa.

"Untuk menguatkan lagi keyakinan, suspek akan menggunakan gambar profil WhatsApp yang memaparkan gambar kenalan mangsa.

"Dari situ mangsa bertambah yakin dengan penipuan 'kenalan' yang mahu meminjam wang," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Tambah Nik Ezanee, kerana terlalu yakin, tanpa melakukan semakan, mangsa akan memasukkan sejumlah wang yang diminta suspek ke dalam akaun bank.

Beliau memberitahu, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas mangsa menghubungi kenalan atau ahli keluarga mereka menggunakan nombor asal.

Berikutan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan mana-mana panggilan yang tidak dikenali.

Orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun bank scammer melalui laman web https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.