IPOH: Jumlah mangsa banjir di Daerah Kerian dan Larut Matang Selama di Perak meningkat sekali ganda kepada 200 orang dari 67 keluarga, setakat jam 8 pagi ini, berbanding 79 orang dari 29 keluarga malam tadi.

Jurucakap Sekretarian Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, mereka ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) - satu di Kerian dan dua di Larut Matang Selama.

Menurutnya, 39 mangsa dari 11 keluarga dari Kampung Matang Tengah di Daerah Kerian ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak yabg dibuka dua hari lalu.

Katanya, tiga PPS baharu dibuka malam tadi di Taiping dalam Daerah Larut Matang Selama iaitu di Masjid Nurul Hidayah, Sungai Bemban, Kuala Trong; Masjid Al-Wusta, Batu 8 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Gelugor, Matang.

Ujarnya, PPS Masjid Nurul Hidayah menempatkan 81 mangsa dari 31 keluarga, kesemuanya dari Kampung Batu 9, Changkat Jering.

Tambahnya, PPS Masjid Al-Wusta pula menempatkan 30 mangsa dari 11 keluarga, masing-masing dari Kampung Kuala Trong dan Kampung Sungai Punggor.

Katanya, PPS SK Matang pula menempatkan 50 mangsa dari 11 keluarga dari Kampung Matang Gelugor, Kampung Matang Pasir dan Kampung Jebong Kiri.

Sementara itu, mengikut laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Jalan Bagan Serai - Changkat Lobak di Daerah Kerian ditutup kerana berlaku tanah runtuh.

Penduduk di kawasan yang terlibat dan kawasan sekitar dinasihatkan supaya berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan.

Pihak JKR Daerah dan syarikat konsesi melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.

Menurut laporan itu lagi, jalan alternatif Alor Pongsu - Bukit Merah dibuka kepada semua kenderaan berat kerana paras air pada 0.42 meter.