SHAH ALAM: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar mengesahkan pihak berkuasa sedang mengesan individu yang dipercayai mencuri beberapa bahagian badan harimau belang yang mati digilis lori di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa mengenai kes berkenaan.

Jelasnya, pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan berkenaan sudah dikenal pasti.

“Pemandu lori sudah dikenal pasti. Tetapi berkenaan kecurian, kita difahamkan ia mungkin dilakukan pihak lain.

“Tetapi ia masih dalam siasatan polis dan kita sedang mencari maklumat lanjut untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab dalam kecurian itu,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Hari Enggang Kebangsaan, pada Ahad.

Beberapa hari lalu, tular sebuah video memaparkan bangkai harimau belang yang sebahagian badannya hancur digilis lori di atas JRTB.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff mengesahkan banyak bahagian dari harimau itu hilang dan pihaknya kini bekerjasama dengan polis dalam usaha mengesan pencuri itu.

Beliau menyeru sesiapa yang mengambil mana-mana bahagian sama ada kulit, taring, tulang, kuku atau misai harimau itu agar menyerahkannya kembali Perhilitan bagi mengelakkan tindakan diambil.

Mereka yang didapati bersalah boleh didenda minimum RM150,000 dan maksimum RM1 juta, serta penjara tidak melebihi 15 tahun iaitu peruntukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.