SHAH ALAM: Pelakon kelahiran Singapura, Atikah Suhaime, 34, selamat melahirkan cahaya mata sulung pada Ahad di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.

Bayi perempuan seberat 2.9 kilogram itu dilahirkan secara normal pada jam 5.17 petang.

Berita gembira itu dikongsikan oleh Atikah di media sosial.

Hantaran itu juga turut disertakan dengan gambar dan video Atikah sedang memeluk anak sambil memandang wajahnya dan tersenyum manis.

Atikah meluahkan rasa syukur dan teruja dengan kehadiran cahaya mata pertama hasil perkahwinannya bersama suami, Datuk Lokman Teh.

"Alhamdulillah rasa macam baru lari marathon," katanya menerusi Instagram.

Dalam hantaran sama, Atikah turut mendedahkan nama anak perempuannya.

"Anak mami yang cantik, Lyla Mulan Teh," jelasnya.

Atikah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Lokman pada Januari tahun lalu.

Pada September tahun lalu, perkongsian video mukbang Atikah menarik perhatian ramai sehingga timbul spekulasi pelakon berkenaan itu sedang berbadan dua.

Tidak lama selepas itu, Atikah berkongsi berita gembira dia sudah hamil empat bulan. - Sinar Harian