BATU PAHAT: Polis percaya ibu tunggal yang dilaporkan hilang sebelum ini Mira Sharmila Samsusah, 32, atau Bella masih berada di negara ini susulan tiada rekod mangsa ke luar negara.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata terkini, polis telah melakukan dua lagi tangkapan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik bagi membantu siasatan kes itu, namun enggan mengulas lanjut.

"Buat masa ini, kita masih lagi membuat siasatan ... penemuan terbaharu dua tangkapan, masih dalam tahanan reman, siapa (suspek) saya rahsiakan ... saya tidak boleh perincikan," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Balai Polis Sri Gading di sini hari ini.

Sebelum ini, ibu tunggal kepada dua anak itu dilaporkan hilang setelah gagal dihubungi pada 14 Dis lepas sebelum laporan polis dibuat dua kali oleh ahli keluarganya pada 16 dan 18 Dis 2023.

Bella turut dikatakan menaiki kereta teman lelakinya pada 11.50 malam dengan hanya berbaju kelawar untuk ke kedai dobi berhampiran, bagaimanapun kelibat wanita itu tidak lagi kelihatan.

Setakat ini, lima individu telah diambil keterangan termasuk teman lelaki Bella yang berumur 24 tahun dan ditahan reman selama tujuh hari bermula 25 Dis, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata Balai Polis Sri Gading dan enam unit kediaman itu mula dibina pada 1919 sebelum dirobohkan pada 2003 dan dibina semula serta beroperasi sepenuhnya pada 1 Ogos 2008.

-- BERNAMA