Polis negeri ini menubuhkan pasukan petugas bagi membendung kes bunuh yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata pasukan itu akan diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, SAC Mazlan Kesah dengan dibantu pasukan dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Beliau berkata polis telah mendapat petunjuk baharu berdasarkan kepada beberapa kes dan turut mengenal pasti penjenayah yang terbabit.

Beliau turut menggesa pihak penjenayah agar tidak memandang rendah terhadap keupayaan polis.

"Jangan sesekali mencabar polis. Saya sebagai Ketua Polis Negeri akan mengambil tindakan tegas secepat mungkin.

"Saya telah mengarahkan seluruh pegawai dan anggota polis beri penekanan dan saya akan bertindak sendiri memastikan tidak ada lagi kes seperti mencederakan dan bunuh menggunakan senjata api," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata dari Januari hingga Mei tahun ini sebanyak 12 kes bunuh dicatat di negeri ini dengan sembilan kes melibatkan penggunaan senjata api iaitu empat kes menembak mati dan lima kes mendatangkan kecederaan.

Beliau berkata pihak polis turut membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas terutama di bahagian tanah besar.

"Setakat ini kita mempunyai 46 buah CCTV. Kalau kita perhatikan, kawasan yang ada CCTV, jenayah berkurangan terutama di kawasan George Town yang kita ada lebih kurang 28 CCTV.

"Tetapi di bahagian seberang didapati kurang CCTV. Saya sudah berbincang dengan kerajaan negeri untuk menambah CCTV di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata polis telah mengambil keterangan daripada seorang individu yang bertanggungjawab dalam pengajuran ceramah Pakatan Rakyat di Padang Kota Lama di sini Sabtu lepas.

Beliau berkata beberapa individu lagi akan dipanggil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 9 Akta Pehimpunan Aman 2012.

"Kita akan lengkapkan siasatan. Kita akan ambil tindakan susulan kalau perhimpunan itu menyalahi undang-undang," katanya.

Abdul Rahim menegaskan sebarang perhimpunan sama ada anjuran kerajaan negeri atau kerajaan pusat perlu mendapat kelulusan dan permit berdasarkan undang-undang yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.