Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat pemantauan dan kawalan khusus di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, Kedah, Perak, Perlis, dan Malaysia-Indonesia di Sarawak dan Sabah bagi mengekang sebarang elemen yang boleh menganggu-gugat proses pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata bagi tujuan itu, polis akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengawal sempadan negara.

"Mengenai kawalan sempadan Malaysia-Thailand, ia bertujuan supaya tidak ada sebarang unsur sabotaj yang mungkin berlaku terutama di Kelantan. Kawalan sempadan mungkin dilakukan sehingga ke Perlis.

"Kita juga akan membuat perkara yang sama di Sabah khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah. Kawasan ini seperti mana yang diketahui mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan perlukan kawalan dan pemantauan. Kita tidak mahu orang ramai berasa takut untuk keluar mengundi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan dan mendengar taklimat PRU14 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini. Hadir sama Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan dan timbalannya Datuk Din Ahmad.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata polis akan menggunakan khidmat 1,700 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang akan membantu tugas polis trafik dalam memastikan kelancaran trafik terutama pada hari pengundian.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi membuat pemantauan terutama di kawasan panas berdasarkan data daripada PRU13.

"Bagi kawasan panas tidak dinafikan ia wujud terutama di kawasan parti yang menang dengan majoriti sedikit atau tipis. Dalam hal ini persaingan dijangka sengit dan parti yang bertanding akan berusaha untuk menang.

"Setakat ini apa yang kita lihat persiapan oleh PDRM amat memuaskan hati. Sekiranya memerlukan bantuan daripada luar ia akan dihantar terutamanya dalam tempoh berkempen, mengundi dan pasca PRU," katanya.

-- BERNAMA