Polis memburu dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah di Bandar Utama, Petaling Jaya tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Zaini Che Din berkata polis telah menahan dua lelaki termasuk seorang warga Colombia yang mempunyai kaitan dengan dua lelaki yang dicari itu.

Beliau berkata warga Colombia berusia 35 tahun itu ditahan ketika berada di dalam kereta di luar rumah mangsa, ketika dua suspek itu sedang memecah masuk rumah berkenaan.

"Seorang lagi suspek warga tempatan berusia 30 tahun ditahan berdasarkan siasatan awal telah menyewakan keretanya kepada penjenayah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zaini berkata dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, jiran mangsa terdengar penggera rumah mangsa berbunyi dan mendapati dua lelaki bertopi dan bersarung tangan memanjat keluar daripada pintu pagar utama rumah.

"Jiran mangsa yang mendengar bunyi kuat memaklumkan kejadian kepada polis. Polis kemudian mengesan kereta Perodua Myvi berkenaan berhampiran rumah mangsa dan menahan lelaki Colombia itu. Dua suspek yang menyedari kehadiran polis telah melarikan diri ke kawasan semak," katanya.