Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata polis akan melakukan siasatan berhubung kedua-dua kes itu, melibatkan pelbagai aspek siasatan serta secara telus.
Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu ini dan memantau setiap pegawai dan anggota di bawah seliaannya.
"Sejak saya mula melaporkan diri bertugas ke Kelantan, saya telah memberitahu supaya setiap pegawai dan anggota polis perlu memastikan disiplin mereka sentiasa di tahap yang terbaik.
"Saya serius dalam soal disiplin apatah lagi sekiranya melibatkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pegawai dan anggota saya," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, melawat pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata tiga anggota polis, dikesan melakukan aktiviti salah laku dengan mengunjungi pusat hiburan di Golok, Thailand.
Ketiga-tiga anggota yang masing-masing berpangkat Sarjan Mejar, Koperal dan Lans Koperal berumur 26 hingga 32 tahun itu, disiasat oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Pada 10 Nov, pihak JIPS IPK Kelantan telah menerima beberapa keping gambar dan video berhubung aktiviti salah laku anggota polis yang disyaki mengunjungi dan berhibur di pusat hiburan di Golok menggunakan laluan pangkalan haram, selain dipercayai mempunyai hubungan dengan ceti haram.
-- BERNAMA