Perikatan Nasional (PN) menerima respons positif yang lebih tinggi berbanding Muafakat Nasional (MN) mahupun Barisan Nasional (BN).

Menerusi kajian daripada Merdeka Center, sebanyak 51 peratus daripada 3,415 responden melihat PN dari sudut positif, hanya 27 peratus berpendapat negatif.

Jumlah itu lebih baik daripada MN yang hanya menerima 37 peratus respons positif, BN dengan 40 peratus respons positif manakala Pas pula 39 peratus.

Pakatan Harapan (PH) merekodkan respons 52 peratus negatif dan hanya 25 peratus berasa senang dengan gabungan itu.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mendapat respons negatif lebih tinggi daripada positif apabila 39 peratus memberi respons sementara maklum balas positif sekadar 28 peratus.

Dalam kajian sama, sebanyak 60 peratus pengundi Melayu menyokong Bersatu menyertai MN.

Manakala, 65 peratus pengundi Melayu juga lebih suka UMNO berada dalam PN dan 68 peratus daripadanya mahu melihat Pas terus menjadi sebahagian daripada PN.

BACA: 69 peratus puas hati prestasi Perdana Menteri

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mengumumkan bahawa UMNO membuat keputusan tidak akan menyertai PN sebagai parti komponen.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, UMNO akan terus memperkasakan MN bersama Pas dan komponen BN.

Tambah Zahid, sokongan kepada kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan Ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN dalam pembentukan kerajaan pusat dan beberapa negeri.

Dalam pada itu, Pas pula menegaskan parti itu menyokong kerajaan yang dibentuk PN dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya tidak mempunyai masalah menyatakan sokongan berkenaan dan akan terus bersama dalam kerajaan PN.