KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan khas tambahan dalam Belanjawan 2023 sebanyak RM600 juta untuk komuniti peniaga kecil di Sabah dan Sarawak.

Katanya, peruntukan tambahan itu diberikan selepas meneliti keperluan menyokong golongan usahawan dan peniaga seperti yang dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen dari kedua-dua negeri itu.

Menurutnya, peruntukan RM600 juta itu akan diagihkan kepada kumpulan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bentuk dana pinjaman mikro dan kemudahan jaminan pinjaman.

"Untuk Sabah dan Sarawak, saya zahirkan keperluan menyokong golongan usahawan dan peniaga. Oleh itu, saya nak tambah.

"Sukacita diumumkan kerajaan akan menyediakan peruntukan khusus untuk komuniti PKS Sabah dan Sarawak dalam bentuk dana pinjaman mikro melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan RM100 juta tambahan.

"Selain itu, peruntukan tambahan juga termasuk kemudahan jaminan pinjaman PKS daripada bank sebanyak RM500 juta," katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.

Perdana Menteri menjelaskan Kerajaan Perpaduan perlu melakukan sesuatu untuk mengurangkan kesenjangan di antara negeri-negeri Semenanjung, dan Sabah Sarawak.