KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju untuk meneruskan baucar buku berjumlah RM100 untuk tahun ini.


Ringkasan AI
  • Kerajaan akan teruskan baucar buku RM100 untuk pelajar Tahun Empat dan ke atas, mulai 31 Mei 2024.
  • Baucar boleh digunakan untuk membeli buku yang disarankan serta pilihan pelajar sendiri.
  • PM Anwar Ibrahim menekankan pentingnya budaya membaca dan pengetahuan AI untuk pelajar.


Menurutnya, pemberian baucar itu akan dimulakan dengan pelajar Tahun Empat, pelajar sekolah menengah, pelajar universiti, kolej dan pelajar di Institut Pendidikan Guru.

Tambah beliau, ia dimulakan dengan Tahun Empat dan ke atas kerana mengambil kira tekanan kewangan yang berterusan kepada kerajaan.

Jelasnya, baucar tersebut boleh mula digunakan pada petang esok, (Jumaat, 31 Mei 2024).

“Kita akan berikan panduan. Ada buku-buku, novel klasik. Ada juga novel-novel oleh sasterawan terkemuka seperti A Samad Said, atau Shahnon Ahmad atau Datuk Mohd Anwar Ridhwan.

“Ada senarai yang kita akan kemukakan. Juga judul baharu berkaitan digital. Saya mahu semua anak-anak kita faham asas kepada artificial intelligence (AI) atau kecerdasan buatan.

“Kita akan unjurkan senarai buku-buku supaya sebahagian daripada wang itu dibeli, digunakan untuk membeli buku yang diusulkan.

“Sebahagian lagi boleh diberi kelonggaran buku pilihan anak-anak sendiri,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, panduan sebegitu harus diberikan kerana dalam amalan sebelum ini, ada buku yang dibeli itu tidak begitu memberi manfaat kepada pembaca.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Kuala Lumpur pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan beliau mahu rakyat Malaysia menghidupkan budaya iqra atau budaya membaca.

Di samping itu, rakyat juga disarankan meneroka alam, teknologi, digital dan AI serta menghasilkan penemuan baharu namun pada masa sama tidak mengetepikan nilai akhlak dan etika.

“Sebab itu tanggungjawab kementerian dan kerajaan untuk membimbing, membantu ibu bapa, guru-guru supaya anak-anak dapat menilai antara maklumat, ilmu... dan mudah-mudahan tercapai hikmah.

“Anak-anak mesti baca. Mesti kita hidupkan budaya iqra, budaya membaca, budaya mencintai ilmu.

“Saya mahu Malaysia ini, Malaysia Madani memperkasa ekonomi, memperkasa budaya dan mengangkat martabat kita sebagai manusia yang punyai akhlak dan menguasai ilmu,” ujarnya.