Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha yang berada di sini untuk lawatan rasmi sejak dilantik memegang jawatan itu, diberi sambutan penuh istiadat di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Ketibaannya disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Prayut kemudian memeriksa barisan kehormatan yang terdiri daripada 106 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Perdana Menteri Thailand diiringi delegasi 19 anggota yang terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, Timbalan Menteri Pertahanan dan panglima besar tentera, Timbalan Menteri Pengangkutan dan pegawai-pegawai kanan yang lain.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, menteri-menteri kabinet, diplomat asing dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Prayut dan Najib kemudiannya mengadakan pertemuan empat mata diikuti dengan mesyuarat delegasi.
Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor kemudian akan menjadi tuan rumah majlis rasmi makan tengah hari bagi meraikan Prayut dan delegasi Thailand di Seri Perdana.

Wisma Putra berkata ini merupakan lawatan pertama Prayut ke Malaysia selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand pada 25 Ogos lepas.

Tujuan lawatan ini adalah untuk membina hubungan baik dengan Najib dan meninjau kemajuan hubungan dua hala sedia ada antara kedua-dua buah negara.

Lawatan itu juga memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk meneroka jalan bagi mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang seperti proses dialog perdamaian selatan Thailand, perdagangan dan pelaburan, projek penghubung infrastruktur di sepanjang kawasan sempadan, pengangkutan dan pendidikan.