KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, kerajaan akan memberikan tumpuan kepada ekonomi perak (silver economy) dalam menghadapi populasi lanjut usia yang semakin meningkat.

“Ia adalah untuk membina infrastruktur dan mencetuskan inovasi dalam bidang seperti teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik bagi membolehkan penuaan yang sihat dan aktif,” katanya ketika sesi Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2024 di Kuala Lumpur.

Apa maksud ekonomi perak dan peluang yang ada? Ini rumusannya:


Ekonomi perak dalam konteks Malaysia

• Ekonomi perak merujuk kepada aktiviti ekonomi dan peluang pasaran yang berkaitan dengan populasi warga tua yang semakin meningkat.
• Ia merangkumi permintaan khusus, perkhidmatan dan keperluan.
• Malaysia perlu mengutamakan pelaburan dalam ekonomi perak untuk membina infrastruktur yang diperlukan dan mendorong inovasi dalam teknologi bagi memenuhi keperluan populasi yang semakin tua.
• Perdana Menteri menyatakan bahawa syarikat pelaburan kerajaan seperti KWSP, Khazanah Nasional Berhad, dan KWAP perlu melabur dalam ekonomi perak untuk menyokong penuaan aktif dan sihat.


Peluang

• Ekonomi perak menawarkan peluang untuk inovasi dan pembangunan produk, perkhidmatan dan teknologi yang disesuaikan dengan keperluan warga tua.
• Ia juga menawarkan peluang pelaburan dan kerjasama antara entiti domestik dan asing dalam bidang seperti bahan, farmaseutikal dan penjagaan kesihatan.


Saiz pasaran dan pertumbuhan

• Di Eropah, kuasa beli warga tua dijangka meningkat daripada AS$3.7 trilion kepada AS$5.2 trilion menjelang 2030.
• Di Asia, walaupun lebih kecil berbanding Eropah, ekonomi perak tetap besar disumbang oleh ekonomi negara membangun di rantau ini.
• Kuasa beli warga tua China dijangka meningkat kepada AS$3.2 trilion menjelang 2030, manakala India dijangka mencecah hampir AS$1.4 trilion.
• Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan sekitar 40% dalam kuasa beli tahunan warga tua dari 2019 hingga 2030.