KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelbagai usaha digerakkan untuk melonjakkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global (GII) yang ketika ini berada di tangga ke-36 daripada 132 buah negara.

Menurut Perdana Menteri, walaupun kedudukan Malaysia tidak terlalu tercorot, namun, beliau menyifatkan pencapaian berkenaan belum boleh dibanggakan.

Ini kerana, tegas Anwar, Malaysia mempunyai asas lebih awal yang sepatutnya boleh melangkah dengan pantas dalam bidang tersebut.

"Ada kenyataan-kenyataan yang saya rasa membolehkan kita terangkan umpamanya kita dalam kalangan 30 ekosistem ke atas di dalam kategori ekosistem membangun dan itu dalam Laporan Ekosistem Startup Global.

"Ini bagi saya satu permulaan tetapi kalau kita lihat apa yang dilakukan oleh negara lain seperti inisiatif dan penumpuan mereka, itu tentunya akan memberi manfaat kepada kita dan menunjukkan bahawa masih terlalu luas ruang untuk kita perbaiki," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024, di ibu negara, hari ini.

Laporan yang dikeluarkan World Intellectual Property Organization (WIPO) di Geneva, Switzerland menyaksikan  Malaysia kekal menduduki tangga ke-36 daripada 132 buah negara dalam Laporan Indeks Inovasi Global (GII) Tahun 2023.

Bagaimanapun, skor keseluruhan yang dicapai negara meningkat kepada 40.9 berbanding skor 38.7 pada tahun lalu.

Berucap lanjut, Perdana Menteri berkata, pemikir, ahli sains dan penyelidik memainkan tugas besar untuk mencari jalan dan rangkaian di dalam dan luar negara bagi mencapai matlamat-matlamat yang belum dicapai termasuk dalam kerangka besar Ekonomi MADANI.

MCY 2024, dengan tema "Leading the Regional Innovation" bertujuan mempercepat dan meraikan pengkomersialan penyelidikan, pembangunan dan inovasi Malaysia dalam usaha memacu negara ke arah menjadi peneraju serantau dalam inovasi.

Dalam Majlis sama, Perdana Menteri melancarkan portal Akses Tunggal Pengkomersilan (CSA) yang dipelopori oleh Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).

CSA adalah platform berpusat yang mengintegrasikan pangkalan data pengkomersialan sedia ada daripada pelbagai agensi kerajaan untuk memudahkan proses, meningkat kecekapan operasi dan mempertingkatkan impak pengkomersialan penyelidikan dan inovasi di Malaysia.