Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata perdana menteri melihat keperluan meneliti semula aspek-aspek lain termasuk lawatan ke luar negara bagi memastikan aspek pengurusan dan tatakelola dimantapkan.
"Ketika kita berusaha kurangkan hutang negara, perdana menteri melihat (keperluan) meneliti semula aspek-aspek termasuk lawatan ke luar negara. Untuk pergi ke luar negara, perlu ada rasional, kenapa jumlah sedemikian diperlukan?. Adakah terdapat kemungkinan untuk pengurangan dan penjimatan?. Ini perlu dipertimbangkan.
"Bukan itu sahaja, tetapi temasuk penambahbaikan aspek penyampaian, mekanisme untuk projek-projek, dan memastikan tidak berlaku kelewatan, penangguhan serta projek sakit. Perdana Menteri berhasrat untuk memastikan setiap wang ringgit rakyat dibelanja dengan baik," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Fahmi berkata bagi Kementerian Komunikasi, badan berkanun terlibat, antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) perlu mendapatkan kelulusan beliau sebelum melaksanakan lawatan ke luar negara.
"Saya minta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) untuk mengikut perkembangan dengan Ketua Setiausaha Negara mengenai arahan tentang perkara ini, agar aspek tadbir urus dilaksanakan dengan rapi, teratur dan tiada pelanggaran," katanya.
-- BERNAMA