KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turun ke Kedah esok bagi meninjau situasi terkini banjir di negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melawat Kedah untuk meninjau situasi banjir, dengan bantuan NADMA dan agensi lain sudah digerakkan. Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 6,588 orang. Program Mara Automotive Ecosystem (MATEC) melibatkan 4,000 usahawan automotif dan RM100 juta dibelanjakan untuk geran dan pinjaman oleh Mara.


Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata anggota Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta jabatan dan agensi berkaitan telah digerakkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri berkenaan.

"Perdana Menteri sendiri akan pergi ke Kedah esok. Walaupun Kedah itu diperintah oleh orang lain, tetapi keprihatinan kepada rakyat itu tetap kita berikan.

"Kita telah menghantar (anggota) sepenuhnya, bukan hanya anggota NADMA tetapi kita koordinasikan operasi ini dengan lain-lain jabatan dan agensi. Tadi, Ketua Pengarah NADMA (Datuk Khairul Shahril Idrus) telah memberi taklimat kepada saya untuk meletakkan anggotanya di PPS," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ditemui pemberita pada program Mara Automotive Ecosystem (MATEC) di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 6,588 orang setakat 2 petang berbanding 6,087 orang 8 pagi tadi.

Bercakap mengenai program Mara Automotive Ecosystem yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, Ahmad Zahid berkata Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah membelanjakan sebanyak RM100 juta dalam bentuk geran dan pinjaman kepada usahawan dalam bidang automotif.

Ahmad Zahid berkata program itu melibatkan seramai 4,000 usahawan daripada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dari institusi Mara seperti Giat Mara, Institut Kemahiran Mara dan Universiti Kuala Lumpur.

"Ini memperlihatkan kesungguhan Mara dalam tempoh beberapa dekad ini telah membuahkan hasil dan kita harap ia dapat diteruskan," katanya.

-- BERNAMA