NEW DELHI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di New Delhi di sini hari ini untuk lawatan rasmi tiga hari di India.

Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Air Force Station, Palam, New Delhi kira-kira pukul 9.47 malam waktu tempatan (12.17 tengah malam waktu Malaysia).

Antara yang mengiringi Perdana Menteri dalam lawatannya ialah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut serta, Menteri Digital, Gobind Singh serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Timbalan Menteri Keretapi, V.Somanna; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Muzafar Shah Mustafa, dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, N Reddy juga berada di pangkalan udara itu bagi menyambut ketibaan Perdana Menteri.

Ketibaan Anwar disambut meriah dengan tarian bangra.

Perdana Menteri yang berada di sini bagi lawatan kerja turut dijadual bertemu dengan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi untuk mesyuarat dua hala, dan beliau juga dijadualkan mengadakan beberapa pertemuan dengan kapten industri tempatan, pelajar dan ahli akademik.

Modi memulakan penggal ketiganya sebagai Perdana Menteri India pada 9 Jun lalu selepas mengangkat sumpah jawatan untuk memimpin kerajaan yang turut disertai beberapa parti kecil bersama-sama parti pimpinannya, Parti Bharatiya Janata (BJP).

Anwar pernah berkunjung ke negara itu pada Januari 2019 untuk menghadiri persidangan di New Delhi dan mengadakan pertemuan dengan Modi ketika itu, tetapi ini merupakan lawatan pertamanya ke India sejak menjadi Perdana Menteri pada 2022.

Anwar turut dijadualkan menyampaikan syarahan bertajuk "Towards a Rising Global South - Leveraging on Malaysia-India Ties" anjuran Majlis Hal Ehwal Dunia India (ICWA), sebuah badan pemikir yang bernaung di bawah Kementerian Luar semasa lawatannya.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Dr S Jaishankar, yang mengulangi pelawaan Modi untuk Anwar melawat India.

India adalah rakan dagangan global ke-12 terbesar Malaysia, dengan perdagangan berjumlah RM77.76 bilion (AS$16.53 bilion).

Perdagangan antara kedua-dua negara mencapai pencapaian yang ketara, dengan jumlah keseluruhan perdagangan mencecah banyak AS$43.3 bilion pada tahun lalu.

Eksport Malaysia ke India bernilai AS$26.3 bilion dengan eksport utama termasuk minyak sawit dan elektronik manakala import terdiri terutamanya daripada produk petroleum dan pertanian.

Malaysia merupakan rakan dagang ketiga terbesar India di ASEAN dan ke-11 terbesar di peringkat global.

Ia juga salah satu sumber pelancong utama Malaysia yang merekodkan kemasukkan 671,846 pelancong pada 2023, manakala rakyat Malaysia yang melawat India ialah 334,579 pada 2019 sebelum jumlahnya merosot akibat pandemik.

Syarikat penerbangan Malaysia dan India mengendalikan 210 penerbangan mingguan antara India dan Kuala Lumpur yang menawarkan 37,276 tempat duduk.