Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi kenyataan di laman media sosial Facebook memaklumkan, larangan itu untuk memastikan persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan selamat selain mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini membabitkan aspek keselamatan orang awam.
"Larangan ini juga bertujuan untuk mengelak risiko kemalangan terhadap pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, yang menjalankan latihan dan pertunjukan penerbangan formasi rendah di beberapa lokasi sambutan.
"Sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian aktiviti dron yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam atau harta benda tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3); Peraturan 98, Peraturan 140-144, Peraturan Penerbangan Awam Malaysia dan Civil Aviation Directives (CADs)," menurut kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Unit UAS CAAM di e-mel drone.taskforce@caam.gov.my atau layari laman sesawang www.caam.gov.my.
-- BERNAMA