HAMBURG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini dari ibu negara Jerman, Berlin untuk lawatan satu hari ke bandar pelabuhan itu.

Anwar, yang tiba di Berlin pada 10 Mac untuk lawatan enam hari ke ekonomi ketiga terbesar di dunia itu, akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Nour, di sini.

Masjid itu pada asalnya merupakan sebuah Gereja Capernaum, sebelum ia diubah menjadi rumah ibadah Islam pada 2018.

Selepas solat Jumaat, Anwar akan ditemu bual oleh agensi berita Jerman Deutsche PresseAgentur (DPA).

Perdana Menteri kemudiannya akan meneruskan misinya untuk menarik pelabur dari Eropah dengan bertemu eksekutif dari syarikat semikonduktor yang berpangkalan di Belanda, Nexperia.

Nexperia mempunyai lebih 14,000 pekerja di seluruh Eropah, Asia, dan Amerika Syarikat dengan pelanggan di seluruh dunia dan melakukan penghantaran lebih daripada 100 bilion produk setiap tahun.

Perdana Menteri kemudiannya akan menghadiri majlis Makan Malam Persahabatan Asia Timur (Ostasiatisches Liebesmahl) di Dewan Bandaraya Hamburg, yang dianjurkan oleh Persatuan Perniagaan Asia-Pasifik Jerman.

Dengan lebih daripada 300 tetamu, Ostasiatisches Liebesmahl merupakan salah satu acara yang paling penting dalam meraikan hubungan negara itu dengan Asia.

Tokoh-tokoh terkemuka dari bidang ekonomi, politik, dan diplomasi akan berkumpul pada acara tahunan ini, yang secara tradisinya berlangsung di Hamburg.

Semasa di Berlin, Anwar telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Jerman Canselor Olaf Scholz, selain mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Frank-Walter Steinmeier.

Beliau juga melawat kilang Siemens Energy di Huttenstrabe, sebelum mengadakan pertemuan bersemuka dan meja bulat bersama lebih 35 ketua industri dan pelabur berpotensi dari Eropah.

Anwar juga telah membawakan isu eksport minyak sawit Malaysia ke Eropah dan perubahan iklim semasa pertemuan dengan Timbalan Canselor Jerman merangkap Menteri Ekonomi dan Tindakan Iklim Robert Habeck, sebelum beliau menyampaikan ucaptama di SME Future Day 2024.

-- BERNAMA