Pesawat khas membawa beliau mendarat di Beijing Capital International Airport sekitar pukul 6.10 petang waktu tempatan.
Ketibaan Anwar yang juga Menteri Kewangan disambut oleh Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Malaysia, Norfarina Mohd Azmee dan Penasihat Pertahanan di Beijing, Laksamana Pertama Mahadzir Mokhtar.
Turut sama menyambut Perdana Menteri adalah Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Pembantu Menteri Luar China, Liu Bin.
Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Anwar mengakhiri lawatan kerja di Shanghai hari ini, dengan mengadakan mesyuarat meja bulat dan pertemuan bersama syarikat-syarikat dan kapten industri dari China.
Semasa di Shanghai, beliau turut mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya, Li Qiang.
Di Beijing, jadual padat menanti Perdana Menteri dengan beliau dijadual menyampaikan syarahan terbuka bertajuk “Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order” di Universiti Peking serta melawat Huawei Executive Briefing Centre.
Dalam lawatan ketiga Anwar ke China ini, beliau akan turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Xi Jinping, dengan presiden republik itu bakal menghoskan majlis makan malam kepada Perdana Menteri dan delegasi Malaysia.
Pada tahun ini, Malaysia meraikan ulangtahun ke-50 hubungan diplomatik dengan China.
China merupakan rakan perdagangan global Malaysia yang terbesar sejak 2009, dengan jumlah perdagangan bernilai RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion) pada 2023.
Sehingga September 2024, Malaysia mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM355.15 bilion (AS$76.72 bilion).
Pada separuh tahun pertama 2024, sejumlah 15 projek pembuatan dilaksanakan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.2 bilion (AS$ 252.5 juta).