Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan Malaysia akan menyertai persidangan BRICS di Rusia, menunjukkan kepentingan negara dari sudut pandang Rusia. Anwar dan Putin membincangkan peluang meningkatkan hubungan perdagangan, dengan fokus kepada kerjasama ASEAN dan resolusi konflik global. Kedua-dua mereka bersetuju untuk meningkatkan tekanan terhadap kempen genosid Israel di Gaza dan berharap kerjasama lebih erat di masa depan.
Dalam perkongsian di media sosialnya, beliau berkata, jemputan itu disampaikan secara peribadi oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin, sewaktu mesyuarat dua hala dan sesi makan malam khas untuk delegasi Malaysia pada Khamis.
Anwar berkata, jemputan itu jelas menunjukkan kepentingan Malaysia dari sudut pandang Rusia, dan ia juga menandakan satu langkah penting ke arah matlamat utama negara untuk menyertai kumpulan itu.
Media sebelum ini melaporkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS pertama kali dizahirkan Perdana Menteri pada Jun lepas, dengan blok antara kerajaan itu dianggarkan menguasai satu per lima perdagangan global, serta mewakili 40 peratus populasi dunia.
BRICS, yang awalnya dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, kini disertai Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriyah Arab Bersatu, dengan anggaran kira-kira 32 lagi negara telah menzahirkan minat untuk menyertainya.
Dalam pada itu media Kremlin News melaporkan Putin sebagai berkata, Rusia kini sedang memberi tumpuan untuk meningkatkan lagi hubungan dengan ASEAN.
“Kita sedia maklum bahawa Malaysia sedang memainkan peranan sebagai pemimpin dalam kumpulan tersebut. Tahun hadapan Malaysia akan menjadi pengerusi ASEAN, dan saya berharap dalam tempoh tersebut, kita dapat mencari titik permulaan baharu dengan rantau yang semakin berkembang ini,” ujarnya.
Sebagai tambahan, Putin turut menyentuh mengenai jumlah perdagangan antara Rusia dan Malaysia yang menghampiri AS$3.5 bilion, serta peluang yang cukup besar untuk mengembangkan lagi hubungan tersebut.
Dalam pada itu Anwar turut menzahirkan harapan agar Rusia mengambil jalan yang konstruktif ke arah resolusi yang aman dan mampan susulan konfliknya dengan Ukraine.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, kedua-dua mereka juga bersetuju bahawa komuniti antarabangsa mesti meningkatkan tekanan bagi menghentikan kempen genosid Israel di Gaza.
“Dalam kita membina komitmen dan berkongsi visi yang dibincangkan sepanjang lawatan ini, saya optimistik apa yang dicapai hari ini akan membawa ke arah kerjasama yang lebih bermakna di antara Rusia dan Malaysia dalam tahun-tahun yang mendatang,” katanya lagi.