KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam catatan terbaharu di laman Xnya pada malam Ahad, Perdana Menteri berkata, masyarakat antarabangsa seperti terus-menerus mengambil tindakan berat sebelah terhadap segala bentuk kekejaman dan penindasan kepada rakyat Palestin.

“Rampasan tanah dan harta milik rakyat Palestin dibuat Zionis tanpa henti. Akibat ketidakadilan ini, ratusan nyawa yang tidak bersalah menjadi mangsa korban,” tegasnya.

Perdana Menteri memuat naik catatan berkenaan, selepas Wisma Putra mengeluarkan kenyataan mengenai kebimbangan Malaysia yang mendalam berhubung pertempuran yang semakin meningkat di dalam dan sekitar Semenanjung Gaza.


Kementerian itu berkata, adalah menjadi satu keperluan untuk menghentikan segera kehilangan nyawa, penderitaan dan kemusnahan.

Selain itu ia menjelaskan, Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat untuk bersikap penuh kawalan diri dan berusaha untuk mengurangkan ketegangan.

"Puncanya mesti diakui. Rakyat Palestin telah mengalami pendudukan haram, sekatan dan penderitaan yang berpanjangan, penodaan Masjid Al-Aqsa, serta politik perampasan oleh Israel sebagai penjajah.

"Ketidakkonsistenan untuk bertindak ke atas rejim Israel menimbulkan persoalan penguatkuasaan seragam prinsip antarabangsa dan menyerlahkan keperluan untuk pendirian yang lebih konsisten dalam menangani pentadbiran apartheid," menurut kenyataan itu..