KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucaptama di sesi Plenari Forum Ekonomi Timur Kesembilan (EEF 2024) di Vladivostok, Rusia, hari ini.

Menurut poster yang dimuat naik ke akaun Facebook beliau, sesi berkenaan yang dijadualkan bermula pukul 1 tengah hari waktu Malaysia akan turut disusuli dengan sesi soal jawab.

Sesi itu akan disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook beliau dan stesen televisyen tempatan termasuk Bernama TV, Radio Televisyen Malaysia, Media Prima, Astro Awani, TVS dan TV Al-Hijrah.

Perdana Menteri yang kini dalam lawatan kerja dua hari tiba ke negara itu semalam.

Ini merupakan lawatan pertama Anwar ke Rusia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada Nov 2022.

-- BERNAMA