Ringkasan AI
- Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Perdana Menteri China, Li Qiang, bertukar buku mewah sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
- Buku Ties that Bind diterbitkan oleh Bernama untuk memperingati hubungan diplomatik yang bermula pada 31 Mei 1974, mengandungi mesej dari pemimpin dan rakyat kedua-dua negara.
- Pertukaran buku dan setem peringatan ini berlaku di luar majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Li menyerahkan buku bertajuk 50th Anniversary of China-Malaysia Diplomatic Ties Hand in Hand for Win-Win Cooperation, manakala Anwar menyampaikan buku berjudul Ties that Bind kepada Perdana Menteri China itu.
Kedua-dua pemimpin turut bertukar setem peringatan. Anwar juga menyerahkan syiling peringatan kepada Li.
Ties that Bind diterbitkan untuk memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, yang dijalinkan pada 31 Mei 1974.
Buku dwibahasa Inggeris - Cina setebal 174 halaman itu diterbitkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan dihasilkan dengan kerjasama Kementerian Luar.
Ties that Bind juga merangkumi mesej daripada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing dan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai.
Buku berkenaan, menerusi teks dan gambar, menyampaikan pertukaran penting antara pemimpin dan rakyat kedua-dua negara serta pertumbuhan hubungan politik, ekonomi, budaya, sosial, sukan dan pelancongan antara dua negara bagi tempoh 50 tahun lepas.
Sementara itu, buku mewah 50th Anniversary of China-Malaysia Diplomatic Ties Hand in Hand for Win-Win Cooperation diselenggarakan oleh Agensi Berita Xinhua dan Persatuan Persahabatan Malaysia-China.
Buku dengan 106 halaman itu mengandungi mesej antaranya daripada Anwar, Ouyang, Pengarah Biro Wilayah Asia-Pasifik Agensi Berita Xinhua Wang Jinfu dan Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China Datuk Abdul Majid Ahmad Khan.
Buku mewah itu juga memuatkan dua bab bertajuk Footprint of History dan China-Malaysia Ties in New Era.
Pertukaran itu diadakan di luar majlis makan malam Sambutan Ulang Tahun ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan China malam ini.
Ketika ditemui selepas majlis itu, Fahmi berkata pelancaran buku mewah Ties that Bind yang diterbitkan Bernama tiba pada waktu yang tepat, diatur seiring dengan perjalanan Malaysia dan China yang dilalui bersama selama ini.
"Ya, (pelancaran buku) tepat pada masanya dan bersejarah kerana kita meraikan ulang tahun hubungan diplomatik ke-50 antara Malaysia dan China, kini kita dapat lihat hubungan itu telah membuahkan hasil.
"Kami amat berharap buku ini dapat memberikan perspektif tentang hubungan dua negara dan membantu memperkukuh lagi hubungan berkenaan," katanya.
Sementara itu, Wong berkata Ties that Bind menandakan kesinambungan hubungan dua hala dan pertukaran antara Malaysia dan China.
"Kita boleh katakan ia (Ties that Bind) satu-satunya buku yang melambangkan ulang tahun ke-50 kedua-dua negara dan dalam buku ini, saya fikir banyak kerja hebat yang telah dilakukan oleh pasukan Bernama.
"Saya amat berharap bahawa buku ini, sambil memperingati ulang tahun, menandakan permulaan hubungan 50 tahun lagi antara Malaysia dan China," kata Pengerusi Bernama itu.
Berkongsi pendapat sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata selain menceritakan sejarah hubungan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Beijing, buku itu juga meneroka hubungan ekonomi, budaya dan sosial antara dua negara.
"Ia juga melihat ke hadapan, mempertimbangkan bagaimana hubungan dua negara dapat berkembang pada masa hadapan.
"Perspektif ini penting ketika kita mengharungi cabaran baharu dalam semua bidang hubungan dua hala antara Malaysia dan China," katanya.
-- BERNAMA