Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi kepada Nuur Adiba, 35, ibu kepada tiga anak di kediaman mereka.
Ahmad Farhan dalam hantaran menerusi Facebook memaklumkan meskipun dihimpit pelbagai liku kehidupan, Mohd Irwan Hazuan, 36, yang melakukan kerja-kerja kampung tetap berusaha sedaya mungkin untuk menyara keluarga dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan.
"Namun, rumah ini (kediaman suami isteri itu) sendiri menagih perhatian. Lantai yang uzur, atap yang bocor, dan dinding yang semakin rapuh di mana tempat mereka berlindung dan berteduh selama ini," katanya dalam hantaran itu yang turut dikongsikan Perdana Menteri hari ini.
Ahmad Farhan berkata beliau akan melaksanakan kerja baik pulih rumah berkenaan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pahang agar dapat memberikan keselesaan buat mereka sekeluarga.
"Semoga bantuan ini membawa kelegaan buat Puan Nuur Adibah sekeluarga serta dipermudah segala urusan mereka," kata Ahmad Farhan.
-- BERNAMA
